Masjid Al-Mustaqim Menunggu Pengisian Dana Untuk Memulakan Pembinaan
http://drshafie.blogspot.com/2012/03/masjid-al-mustaqim-menunggu-pengisian.html
No. Akaun: Maybank Islamic 5628 3450 4024 – CIMB Islamic 1237 0000 608108
BIMB 1202 9010 059585 Tel Pengerusi 019-6655487 – Bendahari 019 2462115
Kira-kira tiga tahun yang lalu, sekitar 2009 Adun Bangi telah melancarkan pungutan derma bagi membina Masjid Al-Mustaqim ini di dalam kawasan Sekolah Agama Seri Putra. Pada malam pelancaran tersebut diadakan forum sempena pelancaran pemungutan derma tersebut. Adun masih ingat seorang daripada panel forum tersebut, iaitu Ybhg, Ustaz Farid Radhi bersama seorang ahli panel dari UITM telah mencadangkan agar setiap penduduk serius dan mengaku untuk menderma RM1,000 seorang. Menurutnya dengan jumlah tersebut dikali dengan penduduk di Bandar Seri Putra berjumlah 10,000 orang pada masa itu , maka jumlah yang didapati sebanyak RM10 juta adalah lebih dari cukup untuk membina Masjid Al-Mustaqim, maka bagi menunjukkan kesiriusan dengan cadangan dan harapan semua turut menderma beliau menyampaikan dermanya secara tunai pada malam itu, iaitu sebanyak RM1,000. Namun tiga tahun telah berlalu, kita dimaklumkan jumlah dana yang dapat dikumpul setakat ini Cuma RM1.3 juta sahaja.
Walau bagaimana kita menghargai kegigihan jawatan kuasa Masjid Al-Mustaqim yang terus berusaha menambahkan dana masjid dengan berbagai cara dan pendekatan. Pada hari ini kita saksikan salah satu cara bagi menjanakan dana masjid ialah dengan mengadakan Hari Kitar Semula yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk dengan kerjasama AJK Masjid. Dalam program ini diadakan larian kitar semula yang berbagai kategori dan peringkat dari anak-anak, pelajar, orang muda, veteran dan keluarga. Jarak larian pula berbagai terpulang kepada kemampuan dari 3km. kepada 7km. Setiap orang yang mau mengambil bahagian dikehendaki membuat bayaran pendaftaran yang dijadikan dana masjid. Setiap yang datang menyertai Program Kitar Semula ini dikehendaki membawa akhbar lama di rumah mereka untuk dihimpun dan dijual yang juga dijadikan dana bagi masjid. Hadiah-hadiah bagi perlumbaan dikeluarkan bagi johan, naib johan dan beberapa hadiah yang lain. Bagi menarik penyertaan diadakan cabutan bertuah yang hadiah tertinggi ialah sebuah basikal.
Majlis bagi Program Kitar Semula diadakan di padang Awam, Bandar Seri Putera bermula dari jam 7.30 pagi dan perasmian selepas tamat larian, iaitu jam 10.00 pagi. Hadir ke Program ini Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar selaku Perasmi, Tuan Haji Ahmad Yusof YDP Persatuan Penduduk (Induk bagi 17 Persatuan Taman), En. Zulkifli bin Mohd. Gharib Pengarah Operasi UM Land, Syarikat Perumahan Bandar Seri Putera, Dr. Abdul Rahman Pengerusi AJK Pembinaan Masjid, Dato` Zakaria Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Dato` Anas, En. Ahmad Zaidi, ibu bapa dan peserta-peserta.
Bagi Majlis Perasmian Tuan Haji Ahmad mengalu-ngalukan tetamu yang sudi hadir ke Program Larian Kitar Semula dan turut menderma. Beliau juga berterima kasih di atas penyertaan berbagai pihak sehingga Program yang diadakan mencapai kejayaan. Menurutnya semua hasil yang dijana dari Program Kitar Semula ini adalah untuk dana Masjid Al-Mustaqim.
Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya berterima kasih di atas jemputan merasmikan Program Larian Kitar Semula. Secara bergurau beliau mengatakan, ``Saya sendiri berhasrat hendak menyertai Larian Kitar Semula, sebagai bukti saya sengaja memakai T shirt dan berkasut kain, tetapi agak ketinggalan dan lambat tiba, sebab itu saya mendahului pelari yang belum tamat larian dengan saya terus potong trip terus ke majlis ini. Adun juga mengimbau ke Majlis pelancaran Dana Masjid Tahun 2009 di Sekolah Agama Bandar Seri Putra. Kali ini Adun datang bagi merasmikan Program Larian Kitar Semula dengan menyampaikan peruntukan kali kedua dari Adun bagi menambahkan dana Masjid Al- Mustaqim. Adun menyatakan rasa sukacita bila dimaklumkan bahawa pembinaan masjid ini akan dilakukan pada pertengahan tahun ini juga dengan dana permulaan sebanyak lebih kurang 2 juta. Kita harap kata Adun, ``Bila struktur masjid sudah naik, akan menggerakkan hati mereka yang melihat untuk terus menderma.`` Adun memuji AJK Pembangunan masjid yang terus berusaha berbagai cara bagi menambahkan dana masjid. Secara bergurau juga Adun berkata, ``Satu cara mendapat dana segera dengan banyak, kita di sini sama hadir ialah En. Zulkifli Mohd Gharib Pengarah Operasi UM Land di sini, kita harap kerjasama dengan beliau dapat menempah perumahan baru, misalnya satu raw bangunan rumah dengan modal minimum dan dengan kerjasama UM Land menjual kepada pembeli-pembeli yang boleh memberi kadar keuntungan kepada Dana Masjid antara katakan RM3 –RM5 juta dan sebagainya. Dengan keuntungan ini dapat menyegerakan pembinaan masjid yang dijangkan memerlukan peruntukan sebanyak RM7.5 juta itu.
Walau apa pun kata Adun beliau bergembira melihat kerjasama penduduk yang keluar beramai-ramai pada hari minggu ini. Kerjasama diharap diberi bagi pembinaan Masjid Al-Mustaqim. Melalui kegiatan yang bersifat sukan ini bukan saja menyihatkan badan, tetapi memupuk hubungan kemasyarakatan antara penduduk setempat dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Majlis seumpama ini kata Adun, wajar diadakan dari semasa ke semasa.
Selepas pelancaran Adun menyampaikan hadiah-hadiah dan juga mengadakan cabutan bertuah. Tetapi Adun tidak dapat menyertai Majlis sehingga ke akhir, kerana ada program di tempat lain dan memohon diri kepada AJK dan hadirin.
Sekian.